Monday, 9 January 2012

Jika Hati Ibu Bapa Terguris..

Hubungan kekeluargaan adalah satu usaha untuk membentuk masyarakat Islam yang berkualiti. Dalam hubungan ini, kepentingan setiap individu terjamin apabila setiap anggotanya saling sayang menyayangi, melindungi dan ingat-mengingati antara satu sama lain. Ini bukan sahaja dapat menjamin kepentingan dalam setiap ahli dalam keluarga tersebut malah juga dapat membantu dalam memupuk lagi kasih sayang antara ahli keluarga yang telah terjalin.


Allah s.w.t berfirman dalam Surah An-Nisa’, ayat 1, bermaksud: “Dan takutlah kepada Allah yang minta-meminta kamu dengan nama-Nya dan (takutlah akan memutuskan) silaturrahim. Sesungguhnya Allah mengawasi kamu.”


Ibu bapa mempunyai kedudukan mulia di mata Allah. Ibu bapa juga adalah orang yang paling hampir dengan kita dari aspek ikatan kekeluargaan dan pertalian darah. Selayaknya ibu bapa menerima penghargaan atau ganjaran yang paling besar dari Allah sebagai orang yang harus dihormati kerana jasa yang mereka taburkan sejak kita dalam kandungan sehingga dewasa.


Malah, sehingga kita mati sekaki pun, jasa dan pertalian darah antara kita dan ibu bapa tidak akan pernah putus. Iman seseorang juga tidak akan sempurna sepenuhnya jika mencalarkan kebeningan hati ibu bapa kita.


Begitu juga bila berbicara mengenai jasa dan pengorbanan ibu bapa yang tidak dapat dibalas dengan apa jua perkara. Pernah diceritakan pada zaman nabi mengenai jasa seorang ibu membesarkan anaknya. Dimana kisah ini berlaku ketika Abdullah Umar melakukan tawaf di Baitullah dan terdapat seorang pemuda yang berasal dari Yaman memikul ibunya dan bertawaf dalam keadaan cuaca yang sangat panas. Peluh mengalir di wajahnya, dia kelihatan begitu keletihan. Pemuda tersebut berjumpa dengan Ibnu Umar dan bertanya kepada Ibnu Umar: “Apakah menurutmu aku telah membayar segala jasa ibuku atas apa yang telah ibuku lakukan untukku selama ini?”


Ibnu Umar menjawab: “Demi Allah, tidak walaupun satu nafasnya.”